Saturday, October 29, 2011

Piala Malaysia Milik Negeri Sembilan.. :)



NEGERI SEMBILAN kembali ditabalkan selaku juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan skuad Hoben Jang Hoben kembali menjulang piala berprestij itu.
Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.
Bagi Terengganu pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia.
Kekalahan itu juga sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira 35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.
Pemain sayap, Mohd. Ashaari Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-59.
Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan.
Hasilnya, pemain sayap lincah, S. Kunanlan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas rembatannya dari sebelah kanan pintu gol Terengganu gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Mohd. Sharbinee Alllawee.
Hairuddin mengesahkan kemenangan Negeri Sembilan apabila meledak gol berselang lima minit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang kapten, Shukor Adan.
Ia dianggap detik cukup istimewa bagi Hairuddin, 32, kerana dia turut menjaringkan gol dalam dua edisi final sebelum ini.
Pada edisi 2009, Hairuddin yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan dari kelab T-Team, berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan menarik, sekali gus mengecewakan Kelantan 3-1 di pentas final.
Ketika menyarung jersi Kelantan musim lalu pula, Hairuddin menjadi watak pemusnah bagi Negeri Sembilan apabila tandukannya berjaya menyamakan kedudukan buat The Red Warriors sebelum jaguh Pantai Timur itu menang 2-1.
- Kosmo

Credit to Bernama

No comments:

 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah