Friday, October 21, 2011

2 Entri Sukan..


Chong Wei ke separuh akhir

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan 47 minit untuk menyingkirkan bekas juara dunia, Chen Jin 21-14, 21-19 dan melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Denmark di Odense, semalam.
Jaguh No. 1 dunia itu kini bakal berdepan pemenang di antara dua pemain tuan rumah berlainan generasi, iaitu jaguh veteran berusia 35 tahun, Peter Hoeg Gade atau juara remaja dunia berusia 17 tahun, Viktor Axelsen pada separuh akhir esok.
Kemeriahan kejohanan lumayan bernilai AS$400,000 (RM1.2 juta) itu bagaimanapun sedikit terencat selepas hasrat peminat untuk melihat Chong Wei menentang musuh tradisi, Lin Dan pada perlawanan akhir tidak kesampaian apabila bintang China itu kalah mengejut 10-21, 21-17, 19-21 kepada pemain bukan pilihan Hong Kong, Wong Wing Ki pada pusingan ketiga semalam.
Chong Wei yang merupakan juara Terbuka Denmark 2005 dan 2006 gagal merangkul kejuaraan dalam dua kejohanan terakhir yang disertai - Kejohanan Dunia di London, Ogos lalu dan Terbuka Jepun, bulan lalu.


Qatar Classic: Nicol rangkul kejuaraan kelima

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David menebus kekalahannya pada kejohanan skuasy Terbuka Australia minggu lalu dengan merangkul kejuaraan Qatar Classic buat kali kelima di Doha, semalam.
Pemain berusia 28 tahun itu langsung tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan pemain veteran Ireland, Madeline Perry 11-2, 11-7, 11-3 dalam masa 33 minit, sekali gus membawa pulang gelaran Jelajah Wispa (Persatuan Pemain Skuasy Antarabangsa Wanita) kelima tahun ini selepas turut muncul juara Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Cayman Islands, Terbuka Malaysia dan Terbuka Australia.
Malah, kemenangan tersebut memberi suntikan motivasi buat bintang skuasy negara itu untuk usaha mempertahankan kejuaraan dunia di Rotterdam, Belanda pada 28 Oktober hingga 4 November ini.
Nicol juga mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan Qatar Classic selepas memenangi gelaran sejak kali pertama beraksi pada 2006, diikuti 2007, 2008, 2010 dan 2011.
credit to utusan Malaysia.. :) 

No comments:

 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah