Monday, August 15, 2011

Kasihmu Ibu...












Untuk tatapan dan
renungan semua anak-anak….semoga ianya tidak berlaku kepada kita ya





……….............................








"Mana Mak?'Jam 6.30
petang.Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik
bungsu balik dari sekolah agama. Ayah baru balik dari sawah.Ayah tanya Mak,
“Along mana?’Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”Ayah tanya Mak
lagi,” Angah mana?”Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”Ayah tanya
Mak, “Ateh mana?”Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam.”Ayah
tanya lagi, “Adik dah balik?”Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal
adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.” Mak
jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak
jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak mak dan bagaimana
keadaan anak-anak mak setiap masa dan setiap ketika.





..................................................................................................................





Dua puluh tahun kemudian.
Jam 6.30 petang. Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak
tengahari. Ayah tanya Along, “Mana Mak?”Along sedang membelek-belek baju
barunya. Along jawab, “Tak tahu.” Ayah tanya Angah, “Mana mak?”Angah menonton
tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.” Ayah tanya Ateh, “Mana mak?”Ayah menunggu
lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi,
"Mana mak?"Ateh menjawab, “Entah.”Ateh terus membaca majalah tanpa
menoleh kepada ayah .Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”Alang tidak jawab. Alang
hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu. Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik
yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang
ayah mahu.Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu
di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati
Ayah yang mencari-cari di mana Mak.Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap
kali ayah bertanya, "Mana Mak?"Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “
Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak
reti nak balik!!
” Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik. 





Dulu
anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan
tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan
pintu.Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki
melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat
balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap
ketika.Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya
'Mana Mak?"Semakin anak-anak mak membesar, soalan "Mana Mak?"
semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .





Ayah berdiri di depan pintu menunggu
Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini mak masih belum balik.
Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut. Dari
jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi
payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit
dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk
anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.Sampai di halaman rumah Mak berhenti
di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori
kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak
rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir
Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak
dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil
dulu. Mereka sudah besar... Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau
Mak lakukannya.Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh
paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka
warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik
kereta anak Mak yang ini.





Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak.
Mak bagi salam. Salam mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah
anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.Mak letakkan
bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak
Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan
Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup
membuat Mak Uda faham.Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi,
Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti
nampak kueh koci kamu ni."Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak
bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa
anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan
muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas
makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak. 





Ayah suruh mak tukar baju
yang basah itu. Mak akur.Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak
ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak.
Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi. Mak hanya tunduk, akur
dengan keadaan. Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak
melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.





Ayah temankan mak
makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak mak akan
makan bersama. Setiap hari mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama mak di meja makan setiap malam.Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang
tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak
hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak
Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab,
"Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak
berangkat."Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh
berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit
harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan
kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta
barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput mak. Mak tahu anak-anak mak tidak
sedar telepon berbunyi. 





Mak ingat kata-kata ayah, “Kita
tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa
pun
.
Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah
anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang.
Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita
kat bahu mereka.”Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah
sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah
hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.Pada suapan
terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.Kueh koci masih belum diusik
oleh anak-anak Mak.





....................................................................................................................





Beberapa tahun kemudian, Mak
Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.Hanya Adik
yang jawab, “Mak dah tak ada.”Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak
sempat melihat Mak waktu Mak sakit.Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan
di sisi anak-anak Mak lagi. Dalam esakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak
Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu
nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak
yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak
semasa anak-anak Mak kecil dulu.Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak
Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan
Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu
mak sakit tenat.Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang
lain bukan untuk Mak.Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak
yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..Mak
tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. 





Hanya bahu ayah yang sempat
mengangkat jenazah mak dalam hujan renyai. Ayah sedih sebab tiada lagi suara
Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana
Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?"
atau "Mana Adik?"
. Hanya mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu
dan jawapan mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya
sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap
ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang
lain yang mengisinya. Ayah sedih. 





Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri,
"Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "Kereta merah Ateh
bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut
dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh
tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya
kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala
Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.""Ayah,
ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun
dari kereta Ateh..Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"Ayah tidak
mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan
"Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir
usia.



...............................................................................................................






Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasan ibu..







Kata orang hidup seorang
ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah
saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama
dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. 










Solat sunat pun Allah suruh
berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon
panggilan dari ibu tanpa berjawab?










Credit to : Fydladyna Illa


Post a Comment
 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah