Sunday, May 26, 2013

Alat Inovasi Rehab



Pagi tadi aku dah update serba sedikit mengenai tugasan yang telah kami siapkan dalam minggu ini.. Sekarang nak cerita sikit peralatan yang telah kami hasilkan.. 



Inilah kerusi Full Arc Quads Chair yang telah kumpulan kami hasilkan 

Kami telah diberi fokus untuk kecederaan sukan ragbi.. 


Jenis Kecederaan       :  Knee medial collateral ligament sprain ( Grade III MCL Tear)Modaliti Senaman       : ‘Full arc quads’.      
Fasa                   : Sub AcuteObjektif Aktiviti      : Menguatkan dan mengembalikan fungsi ligamen dan menguatkan knee  joint
Peralatan              : Kerusi, pelapik kaki, pemberat ( 1kg, 1.5kg, 2 kg), penghadang beban


Alatan yang belum dipasang

Pemberat Kaki

Penghadang Kerusi.. 

Pergerakan senaman yang kami cadangkan adalah seperti di bawah.. ;)



Kelebihan alatan

  • Atlet boleh memilih beban mengikut kemampuan
  • Tidak memerlukan ruang yang besar untuk melakukan senaman
  • Boleh dilakukan ketika beristirahat (menonton televisyen, beriadah dan sebagainya)
  • Kerusi adalah mudah alih dan boleh dilakukan di mana jua.
  • Tali takal boleh diubah mengikut  pilihan pesakit.( semakin pendek semakin tinggi rintangan)

Terima kasih banyak banyak utk Nick, Topher & Santa





Tamat Minggu 13

credit this photo to Siti Aisah Saimi :)
Salam semua.. Entri ini ditulis sekadar ingin berkongsi penceritaan untuk minggu ke 13. Setelah tamat perbentangan lab kreatif, setelah menghantar assginment KPD.. Memang penat sangat. Minggu ke 13 adalah minggu mata panda untuk pelajar AT43.. 

Dalam minggu ke 13 ini juga, kami telah menghasilkan banyak media kit yang menarik. Serius kreatif diorang buat. Aku pun teruja tengok. Kalau semua budak AT43 masuk pertandingan untuk media kit hari tu. InsyAllah. mungkin potensi untuk menang itu ada. Hiks.. 


Credit : Ketua Coaching; Arab
ni salah satu media kit untuk lompat tinggi. Para guru boleh guna masa sesi induksi.. 


Ini pulak media kit yang dihasilkan oleh hasim mahdi.. menggunakan bola ping pong dan soalan berwarna..


Ini pulak permainan Dart yang diilhamkan oleh syakir untuk sepak takraw.. 

Sebenanarnya banyak lagi alatan lain yang telah mereka hasilkan.. 
namun, tak semua telah upload gambar tersebut dalam fb.. :)

....................

Ini pulak alatan untuk Lab Kreatif di bawah kursus Rehab

Alatan ini dibina sebagai prototaip berdasarkan jenis sukan dan lokasi kecederaan.. 







Ini cuma sebahagian gambar.. :)
Gambar penuh mungkin akan upload dalam blog kelas.. 
Terima kasih kerana sudi membaca.. :)









Thursday, May 9, 2013

Alhamdulilah..

Salam Jumaat semua.. hari ini kembali menulis entri di sini.. Terlebih dahulu. Syukur Alhamdulilah, sebab dengan penulisan mengenai entri yang lepas membolehkan penulis mendapat tempat kedua dalam bloggers@kaul tersebut.. Terima kasih kepada pihak penganjur sebab anjur event penulisan blogger begini.  Harap diteruskan di masa akan datang.. :)



Hari ini kembali menaip entri setelah sibuk berhari hari dengan media kit untuk subjek KPD. Namun, rezeki tidak memihak untuk mendapat tempat. Dan akhirnya, aku confuse jugak sebenarnya, sebab katanya tadi.. penyertaan KPD untuk kategori Digital sekadar dua.. ~ abaikan dulu rasa bingung.. sebab kalau dah katanya pernyertaan cuma dua.. apa yang aku buat dari jam 11 sampai jam 3 semalam.. tak bagi menang pun. bagi la aku sijil penyertaan.. huaaa... penat aku tau.. :(

Apa pun.. pengalaman untuk aktiviti luar.. aku belajar banyak tentang blog.. aku belajar buat poster..  benda yang mungkin aku tak kan dapat masa aku lecture dalam kelas.. apa pun. satu harapanku.. semoga pensyarah kami sentiasa mendokong dan menyokong kami dan apa yang penting. memahami penyertaan kami dalam pertandingan ini. Untuk pihak penganjur.. Bagilah kami sijil secepat mungkin.. :)

Baiklah, sedikit ulasan mengenai aktiviti semalam.. :) terima kasih kepada visitors yang hadir ke booth aku.. terima kasih sebab dengar aku berceloteh pasal blog aku yang belum nak complete tuh. terharu bila dengar ramai visitors yang cakap. Jangan delete blog ni tau. Kami nak akses. Ada yang siap salin url lagi.. ;) Rasa pengalaman berblog ni buat aku rasa sentiasa bersemangat untuk update benda baru. Malah ada yang tanya macam mana aku edit, macam, post, share link dan sebagainya.

Ribuan terima kasih kepada Pelajar ISMP sejarah semalam yang sanggup jual dan hantar CD ke booth aku semalam. Terharu sangat bila visitors sanggup tolong untuk aku submit hasil kerja KPD. Alhamdulilah. Sungguh kamu berhati mulia.. :) Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.. 

Apa pun.. terima kasih atas rezeki dan pengalaman yang Allah berikan.. semoga diri ini terus bersemangat dan terus maju di masa hadapan.. 

Terima kasih juga buat sahabat yang sentiasa membantu.. semoga Allah akan permudahkan urusan untuk kita di masa yang akan datang.. :) 


:)
Galaxy.. 
Galaxy Khar.. 
Galaxy Blog.. 

:) 


Monday, May 6, 2013

Blogger



Salam semua.. kembali menaip di sini untuk bercerita mengenai aktiviti semasa. Minggu ini banyak dihabiskan untuk berblog.. Blog Media kit yang belum siap lagi.. :(

Semoga Allah permudahkan urusan.. :)



ini fasa 1... 



ini fasa 2.. 


gigihnya aky tukar template blog tu.. 


ini template terkini.. 

nak singgah. klik sini.

ini blog untuk media kit 

ada rupa blog untuk pendidikan tak?

Kembali mengedit.. :) 






Sunday, May 5, 2013

Pesta Kaul: Entri Penutup Kaul 2013




Senja gemilang bayu berpuput,
Gugur kenanga di celah jerami, 
Besarlah hati kami menyambut ;
Tuan bertamu ke Bahagian kami.

Anak ayam disambar musang,
Musang diam di balik kuini,
Teratak kami banyak yang usang
Harapkan damai Tuan di sini.

Serindit berkicau di pohon jati,
Tempat bermain anak kenari,
Bagai berdendang paluan hati;
Dengar khabar Tuan ke mari.

Sekalung appresiasi penulis titipkan kepada semua pelawat yang telah hadir ke Pesta Kaul Mukah 2013.. 

Ini adalah entri penutup mengenai Pesta Kaul 2013 yang akan diceritakan dan dikongsi bersama pembaca sekalian.  Semangat ketika menulis setiap entri itu membuatkan diri ini tersenyum sendiri. Mungkin sebelum ini blog lebih kepada penceritaan peribadi, namun apabila menaip entri mengenai Pesta Kaul, semangat untuk bercerita secara panjang lebar itu sentiasa ada.. 


terima kasih juga kepada yang sudi membaca mengenai entri Pesta Kaul yang sempat penulis titipkan.. 

nak baca.. klik sini.



Entri agak konsisten dan berkesinambungan berbanding entri sebelum ini.. 
Maknanya Entri Kaul ini juga memupuk nilai disiplin dalam menaip.. :) 

Sedikit perkongsian penutup dari penulis tentang Masyarakat Melanau dalam bentuk video.. 


................................


Credit this video to : OhmyMelanau.. 


Sebelum ini penulis lebih banyak bercerita dan berkongsi gambar bukan. 
Di entri ini, penulis juga ingin berkongsi video Tarian Melanau.. 


Credit this video to Mr Collin Kana.. 

Entri penutup tidak perlulah terlalu panjang berjela.. Penulis berikan beberapa rangkap pantun untuk pembaca setia entri  Pesta Kaul 2013

Bukan lebah sebarang lebah 
Lebah bersarang di rumpun buluh 
Bukan sembah sebarang sembah 
Sembah menyusun jari sepuluh 

Tenang-tenang air di laut 
Sampan kolek mudik ke tanjung 
Hati terkenang mulut menyebut 
rindukan Kaul tiada penghujung 

Akar keladi melilit selasih 
Selasih tumbuh di hujung taman 
Budimu tuan jujungan kasih 
Uniknya Kaul sepanjang zaman 


Salam sayang dan mesra dari penulis.. :)



Halakan mouse anda ke kiri blog jika ingin membaca entri lain berkaitan Pesta Kaul.. 

atau klik  di sini.. 


Terima Kasih kerana sudi membaca.. 



Kaul Mukah; Warismu



Salam semua.. Anda sudah mengundi? Sudah tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia? Tahniah.. Hari ini saya bukannya ingin bercerita mengenai PRU 13. Tetapi entri yang bakal saya tuliskan adalah berkaitan rumusan yang anda boleh dapat dari Pesta Kaul Mukah ini.. Jadi entri hendaklah berkesinambungan, bermula dari Pengenalan, Aktiviti , Keunikan dan tips tips berbelanja semasa kaul. Maka, kali ini saya akan mengaitkan Pesta Kaul ini sebagai wadah utama dalam unsur perpaduan yang menjadikan elemen tradisi budaya itu sebagai nilai tarikan utama. Baiklah.. kembali bercerita.. :) 

Sebelum itu, saya kongsikan kepada pembaca lintas langsung di Tapak Pesta Kaul pada tahun 2011. Ini kerana mungkin penceritaan melalui penulisan adalah kurang jelas, maka saya kongsikan kepada anda video lintas langsung di Tapak Pesta Kaul Mukah, Sarawak.. 


Hasil keseluruhan dari video ini, anda sudah pasti dapat mengetahui secara ringkas pesta ini. Uniknya dengan aktiviti, makanan, pertandingan, dan reka bentuk gerai komuniti yang tersergam indah di Pantai Kala Dana. Pesta Kaul yang menjadi tarikan pelancong ini membuka ruang kepada usahawan baru dan usahawan tempatan untuk mengkomersialkan hasil jualan masing masing. 

Sudah pasti ramai yang bertanya, kenapa penulis begitu mengetahui latar belakang atau warisan Melanau ini. Baiklah, penulis blog ini adalah gadis Melanau. Fullstop :)Penulis berpendapat bahawa tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita semakin lenyap ditelan arus pemodenan. Maka, dengan adanya bermacam macam aktiviti yang telah saya tuliskan dalam entri sebelum ini, dilihat Pesta Kaul ini mampu mengekalkan budaya dan tradisi etnik Melanau. Keunikan aktiviti yang menjadi tarikan pengunjung dilihat begitu signifikan dengan budaya masyarakat Melanau.



Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian dan warna yang pelbagai. Dengan adanya pameran pakaian tradisional Melanau di tapak pameran, pengunjung akan lebih tahu nilai dan budaya Kaum Melanau itu sendiri. Nilai ini dapat dilihat ketika Perasmian Pesta Kaul yang lepas, di mana saya juga telah bercerita mengenai tarian yang dipersembahkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Sarawak. Pesta Kaul yang menggabungkan unsur hiburan di samping mengeketengahkan nilai dan budaya pelbagai kaum di Sarawak.  

Seperti mana yang kita sedia maklum, tarikan pelancongan ialah keunikan budaya tradisional masyarakat Melanau ini, misalnya Tarian Melanau, bermukun bertandak dan bergendang. Banyak pengunjung yang hadir kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan masyarakat Melanau. Ada yang sanggup mendirikan khemah di tepi Pantai Kala Dana bagi menghayati keunikan Pesta Kaul yang berlarutan sampai ke pagi dan merasai sendiri kekayaan warisan bumi seperti keunikan dan keindahan pantai di kawasan Mukah apabila tiba musim Kaul. Tidak kurang pula yang merakamkan adat dan budaya perkahwinan Melanau yang diadakan di Tapak Pesta Kaul ini. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan dan menarik minat pengunjung di masa masa akan datang. Unsur kelainan dari segi aktiviti saban tahun akan  menarik lebih ramai pelancong datang ke Pesta Kaul Mukah di masa masa akan datang. 


Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan bangsa kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar.  Budaya kita yang murni juga merupakan benteng dalam diri yang tidak mudah goyah. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat yang ada pada hari ini berpunca daripada kesilapan silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.


Salam iklhas dari penulis :) 

Halakan mouse anda ke kiri blog jika ingin membaca entri lain berkaitan Pesta Kaul.. 

Terima Kasih kerana sudi membaca.. 



Saturday, May 4, 2013

Kaul Mukah; Jalan Jalan Cari Makan..



Manisnya gadis berbaju kebaya,
Berjalan laju menuju ke pekan;
Umai dan linut pembuka selera,
Apa agaknya katamu tuan?

Daun kelapa melambai-lambai,
Pohonnya rendang di tanah subur;
Makanan tradisi perlu disemai,
Semoga nanti tidak berkubur.

Kek lapis berlapis-lapis,
kuih koci di dalamnya inti,
mahu menulis dakwat dah habis
mahu berhenti tak siap lagi..

Baiklah, itu adalah pantun pembukaan untuk entri pada kali ini. Bukannya penulis mahu bercerita mengenai makanan yang terhidang semasa upacara memacak serahang seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas, ataupun makanan yang dihidang sewaktu makan beramai ramai yang dibawa oleh golongan wanita seperti di entri ini. Namun, penulis ingin berkongsi kepada anda semua. Apa yang lazimnya anda akan temui dan dengan bahasa mudahnya. top google search bila menjelangnya pesta Kaul. Kiranya makanan itu adalah makanan yang pengunjung cari bila sampai ke Mukah. Baiklah, kembali menaip dan bercerita... 


Pesta Kaul; Macam macam ada..



Pernah yang bertanya.. apa memori semasa Pesta Kaul terindah yang pernah kau rasa.?Kenapa apabila menulis mengenai entri pesta kaul itu membawa seribu makna dan sejuta rasa. *puitis sungguh entri petang petang begini. Ada di kalangan sahabat yang masih berkuliah dan bergelar mahasiswa, rela balik untuk menyaksikan Pesta Kaul.tskkk.... Ada ibu dan bapa yang sanggup memandu kereta berjam jam lamanya untuk sampai ke Mukah. Ada yang sanggup bertahan panas untuk melihat keramaian di Tapak Pesta. Ada yang sanggup meninggalkan tugasan semata mata ingin menyaksikan pesta.. Ini sekadar entri peribadi dan perspektif yang dilihat oleh penulis blog dalam aktitiviti kaul ini. Lain orang, lain pendapatnya bukan?...

Friday, May 3, 2013

Pesta Kaul; Aktiviti Ritual Masyarakat Melanau..


Kaul, Tiada seuniknya menggambarkan pesta itu sendiri adalah cukup unik dan punyai identiti tersendiri yang membezakan ianya dengan pesta lain. Entri sebelum ini, saya banyak bercerita mengenai aktiviti dan apa yang telah anda nampak ketika pesta kaul ini diadakan. Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi kepada pembaca sekalian mengenai apa yang anda perlu tahu mengenai keunikan budaya Melanau ini yang anda tidak nampak dan mungkin anda tidak tahu pun sebelum ini. Mungkin dalam entri lepas, anda tidak begitu nampak unsur kelainan yang ada. Mari kita teruskan membaca... 

Pesta Kaul; Joget Berhajat


Walaupun Kaul telah berlalu, namun entri di blog ini masih gigih bercerita mengenai kaul. Entri pada hari ini agak senggang kerana kurangnya tekanan untuk presentation, kuliah dan sebagainya kerana masih dalam mode PRU13.. Hari ini ingin bercerita mengenai keunikan warisan dan seni budaya semasa kaul yang lepas. Entri aku ni kadang kadang memang panjang berjela. Entri hari ini dimulakan dengan serangkap pantun..Eh, pantun? apabila bercerita mengenai pantun.. Saya pasti kalian yang hadir ke Pesta Kaul ke Pantai Kala Dana yang lepas akan melihat sendiri uniknya adat bermukun dan bertandak itu sendiri.. 

Berjalan jalan tersadung kotak,
Kaki luka sukar berdiri, 

Berasal dari Mukah Sarawak,

Zahora Ahyan nama diberi.. 


Setiap tahun aktiviti bermukun dan bertandak ini diadakan di Tapak Pesta Kaul. Bermukun atau bergendang adalah salah satu adat yang merupakan khazanah budaya dan kesenian yang diwarisi masyarakat Melayu Sarawak daripada nenek moyang mereka. Aktiviti ini sangat unik kerana mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai aktiviti bersuka ria yang diadakan dalam keadaan terbuka dan terang di khalayak orang ramai. Masyarakat kaum Melanau mempunyai adat bermukun yang masih diamalkan. Kebiasaannya, adat bermukun bagi kaum Melanau diadakan ketika malam majlis perkahwinan selepas persandingan dilangsungkan. Aktiviti ini dijalankan seperti berpantun, berjoget, dan berkaraoke. Selain itu, aktitiviti ini, dapat mengeratkan hubungan silaraturahim orang kampung, dapat berkerjasama antara satu sama lain dan dapat mengenali budaya serta adat tersebut.

 kalau tadi dapat tengok gambar yang kurang jelas.. kali ni penulis share gambar yang agak jelas dari pentas utama. 



Aktiviti bermukun ini, dikendalikan dikalangan wanita seramai dua atau lebih yang duduk di bahagian balik tabir untuk memukul gendang sambil berpantun. Fokus kepada bahagian belakang pentas. Itulah Mak Gendang. Mereka ini dipanggil atau dikenali sebagai ‘tukang bergendang’ atau ‘seh bergendang’. Kaum lelaki pula akan duduk secara berselerak mengikut kesesuaian atau keselesaan masing-masing di luar tabir. Namun begitu, mereka meninggalkan ruang di bahagian tengah berdekatan tabir sebagai gelanggang tarian. Aktiviti ini dilakukan secara bergilir-gilir dengan pasangan masing-masing. Ha, kalau dulu aktiviti ini dilangsungkan adalah untuk bersuka ria, secara tidak langsung menjadi temasya muda-mudi mencari pasangan ketika berjoget. Aktiviti ini juga, dilangsungkan untuk pihak lelaki mencari dan mengenali gadis idaman mereka. Secara tradisi, apabila pihak lelaki sudah berkenan atau suka dengan wanita tersebut, pihak lelaki akan menyusul dengan majlis merisik dan meminang.


Aktiviti bertandak, bergendang dan bermukun in masih diamalkan olem masyarakat Melanau. Seperti mana yang telah saya katakan di atas. Malah, kini mak gendang yang muda dan manis juga menjadi faktor penarik untuk aktiviti ini. Malah, ada juga di kalangan anak muda yang suka pada aktivti ini sekitar malam perkahwinan kerana dapat melihat sendiri bagaimana aktiviti ini dijalankan. Saya pasti, ramai masyarakat yang bukan berasal dari Sarawak, namun telah lama bermastautin di sekitar Mukah, Matu Dalat, Oya dan sebagainya sudah pasti mengetahui serba sedikit mengenai aktiviti ini.. 

Dengan penerangan ringkas di atas sudah pasti anda dapat melihat gambaran bermukun dan bertandak bukan... 

Sedikit  selingan.. Hasil kerap melihat dan mendengar sendiri adat bermukun berbalas pantun.. 
credit photo to rakan sepasukan : Tanggi.. 
........................................................................

Ha.. sebab tadi saya garapkan seni bermukun dan bertandak, manalah tau dapat mencari pasangan yang ideal bukan. Sekarang saya perkenalkan kepada anda mengenai salah satu tarikan utama di Tapak Pesta Kaul yang lepas.. Ehem. kepada yang ingin berjodoh dengan gadis melanau.. Sila baca dengan teliti.. :)

Gambar ini adalah tempat persandingan bagi pengantin melanau.. Cantik bukan? :) Saya masukkan elemen nilai tambah video di bawah. Ini adalah sebahagian daripada barang hantaran pihak lelaki kepada pengantin perempuan dalam adat Masyarakat Melanau. Hampir kesemua barang adalah barang tembaga tulin yang disimpan turun temurun. Bentuk hantaran adalah bergantung kepada Darjat pengantin perempuan, sama ada 9 pikul, 7 pikul atau 5 pikul. Semakin tinggi darjat keluarga semakin berbeza jenis barang hantaran dan nilainya Saya kongsikan kepada pembaca sekalian barang hantaran kahwin masyarakat Melanau 





 

Uniknya adat perkahwinan melanau ini, aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda tunang dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan

Siapa ada ambik gambar di sini semasa Pesta Kaul Lepas? :) Sudah pasti ia menjadi kenangan terindah kepada anda kerana dapat menggambarkan ia dalam bentuk potret yang kreatif..  Idea ini dahulu aku pernah nampak di Crocodile Farm/ Park di Miri.. Malah, pernah juga aku lihat di Melaka.. Kini di Tapak Pesta Kaul, mereka pamitkan unsur ini.. kreatif dan menarik.. mungkin kaul berikutnya boleh diubah sedikit dari segi ketinggian dan teknik gambarannya.. 


Disebabkan adatnya begitu unik, ramai yang mengambil peluang untuk bergambar di sini.. 

itu adalah sedikit mengenai persandingan kaum Melanau. Kini, persandingannya masih mengekalkan keunikan budaya bagi sesetengah keluarga. Ada yang masih lengkap berpakaian  Melanau, ada yang ala kadar mengikut kemampuan.


Perhiasan tangan yang digunakan semasa persandingan.. 

Jadi, kepada yang ingin mengenal lebih lanjut mengenai uniknya Budaya Melanau ini, jemputlah datang Ke Pesta Kaul di tahun hadapan.. Kaul Mukah akan menghidangkan anda dengan keunikan budaya yang tak lekang dek panas.. tak lapuk dek hujan.. 


He is my Idol.. Lukisan ini tampak kemas.. Tahniah kepada pembeli yang berjaya mendapatkannya di Tapak Pesta Kaul untuk dijadikan simpanan.. mahupun cenderamata... 

Sekian untuk entri kali ini.. 


Credit certain photo to : Garadi Galau & Sufina Azlin.. 

Design blog sedikit berubah.. lebih ceria bukan.. 

Terima kasih.. :)




Wednesday, May 1, 2013

Pesta Kaul: Tiada Seunikmu..




Kembali bercerita di sini untuk menggambarkan betapa uniknya Pesta Kaul yang berlangsung sekitar 24-28 April yang lalu.. Entri sebelum ini saya bercerita mengenai serba sedikit aktiviti dan pengenalan berkaitan kaul. Selepas itu, saya berikan sedikit tips untuk berjimat semasa kaul. Walaupun kaul telah berlalu. Sedikit sebanyak di laman sosial saya melihat ramai yang bercerita mengenai perbelanjaan semasa kaul meningkat dari tahun sebelumnya. Saya tergelak sendiri. Maka, atas sebab itulah saya menulis entri itu. ;) Saya juga telah bercerita mengenai keceriaan yang dipersembahkan dengan unsur perpaduan di kalangan pelbagai kaum yang diinterprestasikan dalam bentuk tarian dan juga pakaian yang digunakan. Saya pasti ramai yang teruja dengan gambar gambar yang telah dikongsikan. Baiklah, entri kali ini, saya akan lebih fokus kepada uniknya budaya Melanau itu sendiri yang digambarkan ketika Pesta Kaul ini dijalankan. Atas sebab uniknya perkara perkara ini, tercetus naluri dan minda saya untuk berkongsi kepada pembaca sekalian. 


Gambar pertama yang saya pilih di atas adalah patung Dakan. Bagi yang hadir ke tapak pesta kaul, sudah pasti anda pernah melihat dan mendapat sedikit input mengenai patung ini bagi suku kaum Melanau. Mengapa dan apa uniknya patung ini mengikut kepercayaan kaum Melanau. Sudah pasti akan terdetik soalan itu di minda pengunjung bukan?. Saya kongsikan kepada anda sedikit info mengenai patung dakan ini. 
Dakan merupakan patung yang diperbuat daripada dahan rumbia. Patung ini juga dikenali sebagai patung yang digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Pesakit yang tidak dapat diubati dengan upacara bebayoh baru akan menggunakan dakan. Terdapat pelbabai jenis bentuk dan saiz patung dakan yang dibuat mengikut jenis-jenis penyakit. Selepas pesakit telah dikenalpasti penyakit yang dihadapinya melalui upacara bebayoh, pesakit akan dilanjutkan kepada orang yang mengubati penyakit menggunakan dakan. Dahan rumbia akan diukir mengikut jenis penyakit yang dihadapi, dimulakan daripada mengukir bahagian badan patung dan barulah mata patung dakan boleh diukir. Selepas patung dakan dihasilkan, pesakit akan duduk, patung dakan akan berada di atas kepala pesakit dan seterusnya air disiram dari atas patung dakan terus ke pasakit yang duduk. Jampi digunakan semasa patung dakan dibuat. Selepas berubat, patung yang digunakan akan dibuang dan dihanyutkan ke sungai yang jauh dari kawasan perumahan. Selain itu, patung dakan yang telah dihanyutkan ke sungai tidak boleh diambil dan dikatakan jika menjumpai atau menganggu patung tersebut seperti memotong patung dakan itu, nescaya mereka akan meninggal dunia. Patung dakan juga tidak boleh disimpan di dalam rumah dan mesti dihanyutkan ke sungai. 

Pada entri sebelum ini juga saya juga telah kongsikan kepada anda mengenai makanan tradisional melanau iaitu sagu. Pesta Kaul tahun ini memperlihatkan budaya kaum Melanau itu dengan mengadakan pameran proses pembuatan sagu itu sendiri. Sila fokus kepada gambar di atas. Seorang lelaki sedang menggunakan tenaga empat keratnya untuk menolak balau(rumbia) itu untuk diproses. Malah, saya juga bercerita mengenai pembuatan sagu secara tradisional. Mungkin penceritaan saya dalam entri lepas agak tergantung. Jadi di sini saya kongsikan kepada anda sedikit info bagaimana pokok rumbia atau pokok sagu itu diproses menjadi tepung Lemantak akhirnya menghasilkan butir butir bulat sagu ..


Proses pertama untuk menjadikan tepung lemantak adalah bahagian-bahagian kecil pokok mulong dibuang kulit yang keras dan dibelah kepada bahagian yang lebih kecil. Bahagian kecil tersebut dimasukkan ke dalam mesin parut untuk mengasingkan hampas dan isi sagu tersebut. Mesin parut tersebut mempunyai beberapa bahagian iaitu bahagian parut, bahagian penapisan, bahagian pengaliran air, bahagian pembuangan hampas (pow) dan bahagian mengaliran pati sagu.Setelah diparut menggunakan mesin ciptaannya sendiri, isi yang diparut diairi untuk mendapatkan pati sagu seperti proses memerah santan dari kelapa yang diparut. Isi yang diparut itu melalui bahagian penapisan dan diperah kemudiannya diasingkan dari hampas atau dalam bahasa Melanau hampas pokok mulong dipanggil ‘pow’ . Hampas tersebut dialirkan ke kawasan sungai. Kitaran air yang menggunakan sepenuhnya air sungai sentiasa bergerak kerana pemprosesan tepung lemantak ini memerlukan air yang banyak untuk mengasingkan setiap bahagiannya.
Setelah diparut, sabut pokok mulong dibuang. Hampas bersama isi sagu yang tinggal dipisahkan menggunakan penapis besar. Isi sagu yang terkumpul dialirkan ke dalam ‘jalur’ iaitu sejenis kayu belian yang dibuang isi dalamnya. Terdapat air di dalam ‘jalur’ tersebut untuk memendakkan isi sagu. Setelah selesai semua, isi sagu bersama air yang terdapat dalam ‘jalur’ di buang airnya. Setelah air dibuang, isi sagu tersebut di masukkan di dalam pasu dan sedia untuk dikeringkan. Proses pengeringan menggunakan ‘tanudak’ adalah sejenis bahan yang menggunakan buluh yang dikait. Setelah dikeringkan dalam keadaan cuaca yang panas. Tepung lemantak sedia untuk diproses menjadi bahan makanan harian masyarakat Melanau seperti linut, tebaloi biji sagu dan sebagainya.


Tepung lemantak yang telah siap.. 

Ha,, itulah serba sedikit penerangan mengenai bagaimana tepung lemantak ini dibuat. Kini tepung ini dibuat dalam 2 variasi. Iaitu serbuk dan berketul sama seperti gambar di atas. Bagi yang telah hadir ke Tapak Pesta sudah pasti anda telah melihat sendiri tepung ini dijual dan sudah pasti anda  mendapat info yang secukupnya dari mak cik yang menjual di gerai tersebut bukan.. :)


Hasil kedua dari pokok rumbia yang ingin saya kongsikan adalah sagu.  Sagu ini adalah makanan tradisional orang melanau yang boleh dimakan bersama buah buahan, kari ayam, dan juga dimakan begitu sahaja dengan ikan bilis ataupun kacang tanah goreng. Sedap! kalau tak percaya, sila lah cuba. 

Sedikit info mengenai pembuatan sagu ini adalah
Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak. Tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna putih-keputihan. Hal ini adalah untuk memastikan kebersihan tepung lemantak itu sendiri. Tepung lemantak akan dikeringkan bagi memudahkan proses penghasilannya. Selepas itu, tepung lemantak akan dicampur dengan kelapa parut kering (kerisik), dedak padi, santan, dan garam . Kesemua bahan tadi hendaklah ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian dari penduduk yang menghasilkan sagu, menggunakan mesin kelapa untuk dijadikan adunannya. Setelah siap, kesemua adunan tadi akan diayak di dalam ‘takung’. ‘Takung’ merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan ‘gaah’. ‘Gaah’ merupakan sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu, gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat melalui lubang-lubang yang sedia ada.

Adunan sagu yang digelek tadi diulang dan dimasukkan semula di dalam ‘takung’ bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk di bakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang sehingga tepung habis. Setelah siap digelek, biji sagu yang tertinggal di dalam takung tersebut sedia untuk dibakar. Proses pembakaran dimulakan dengan memanaskan belaga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata. Setelah belaga betul-betul panas, biji sagu diletakkan di atas belanga dan dibakar. Pembakaran ini juga tidak menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa di ratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang. Masa untuk proses pembakaran ini mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang 5jam untuk menjadikan biji sagu menjadi rangup dan sedap untuk dimakan. Biji sagu yang siap dibakar di masukkan di dalam tin dan sedia untuk di jual kepada pelanggan.

inilah belanga yang digunakan untuk membakar sagu..




Pameran kaul pada tahun ini sememangnya unik kerana ia mempertontonkan secara langsung bagaimana sagu itu diproses. Uniknya bagaimana sagu itu dihasilkan bermula dari proses menebang pokok rumbia yang memerlukan tulang empat kerat, ketelitian untuk membentuk sehingga  menjadi tepung lemantak,  dibakar sehingga menjadi sagu yang memerlukan kesabaran dan kekuatan fizikal dan mental di dalam belanga yang panas. Pameran ini adalah pameran yang paling mendapat perhatian dari golongan pengunjung yang hadir ke tapak pesta kaul ini.. 



Terendak juga memaparkan keunikan yang tersendiri. Malah, pengunjung sendiri boleh membeli terendak ini dengan mudah kerana ia dijual di gerai gerai pameran. Dengan pelbagai bentuk dan saiz. Malah, bagi yang hadir untuk kali pertama ke Mukah, anda sudah pasti agak hairan dengan senibina di sekitar Mukah yang kebanyakannya berbentuk seperti terendak. Contoh terdekat yang anda dapat dilihat adalah menara peninjau yang berdekatan dengan Tapak Pesta berdekatan tandas awam.  Terendak adalah keperluan utama bagi masyarakat Melanau. Kini, ia juga boleh dijadikan hiasan malah masih digunakan oleh sebilangan besar nelayan dan petani di kawasan sekitar Mukah untuk mencari rezeki.



Malah, dengan hadir ke Tapak Pesta Kaul, anda akan dapat melihat sendiri anyaman yang menggunakan sumber alam semulajadi daun nipah yang dapat menghasilkan takung, nyiru, dan terendak.  Atas sebab keunikan anyaman dan reka bentuk peralatan ini, kini ia boleh dijadikan perhiasan di rumah. Saya pasti ramai yang telah berkunjung ke Tapak Pesta mengambil peluang dan ruang untuk membelikan peralatan di atas untuk dijadikan kenang kenangan untuk Pesta Kaul pada tahun ini.. 


jeng jeng jeng.. 


Ini adalah ulat mulong bakar. dipanggil Si'et oleh orang Melanau. bagi yang tidak berkesempatan untuk membeli Ulat Mulong Bakar in ketika Pesta Kaul, ianya juga boleh didapati hidup hidup (mentah)  di Pasar Basah berdekatan Shell di Pasar Lama.  Jangan terkejut kalau anda melihat pengunjung memakan si'et bakar ini ketika pesta kaul yang lepas, kerana ia adalah salah satu makanan tradisional. Sedikit info mengenai ulat mulong ataupun si'et ini adalah : 
Ia sebenarnya adalah larva kumbang yang bersarang di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput. Ulat mulong terutama yang gemuk berlemak boleh dinikmati menerusi pelbagai jenis masakan sama ada digoreng bersama kicap, disalai, dibuat sup ataupun dijadikan sate. Bagi penggemar tegar pula, ada yang memakan ulat mulong secara hidup-hidup yang dicicah dengan garam halus atau dimakan bersama sagu. Ia diminati ramai, baik di kalangan masyarakat bumiputera, Cina mahupun pelancong asing kerana rasanya yang lemak.

 Anda ada melihat ulat mulong ini di pesta keramaian lain? Jarang bukan.. Hanya Pesta Kaul akan menyajikan kepada anda keunikan adat dan budaya yang tersendiri, baik dari segi makanan, pakaian dan adat resam. Pesta Kaul, tiada Seunikmu :) 


monolog dalaman : Di mana agaknya kami hendak membeli si'et goreng ini..




Dengan sedikit perkongsian keunikan budaya dan kepercayaan masyarakat Melanau ini, saya pasti terdetik perasaan anda untuk mengetahu dengan lebih mendalam lagi uniknya budaya masyarakat Melanau.. *wujudlah semangat inkuiri*

Ingin tahu keunikan lain sepanjang Pesta Kaul ini? Tunggu di Entri Seterusnya.. 

Credit photo to :  Cikgu Abdul Wahit 

Kepada yang belum  membaca entri mengenai Pesta Kaul 2013, anda boleh halakan mouse anda ke kiri dan klik pada Tab  Kaul dan membaca entri yang telah  dipostkan sebelum ini.. 

Terima kasih.. :) 

 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah