Wednesday, May 1, 2013

Pesta Kaul: Tiada Seunikmu..




Kembali bercerita di sini untuk menggambarkan betapa uniknya Pesta Kaul yang berlangsung sekitar 24-28 April yang lalu.. Entri sebelum ini saya bercerita mengenai serba sedikit aktiviti dan pengenalan berkaitan kaul. Selepas itu, saya berikan sedikit tips untuk berjimat semasa kaul. Walaupun kaul telah berlalu. Sedikit sebanyak di laman sosial saya melihat ramai yang bercerita mengenai perbelanjaan semasa kaul meningkat dari tahun sebelumnya. Saya tergelak sendiri. Maka, atas sebab itulah saya menulis entri itu. ;) Saya juga telah bercerita mengenai keceriaan yang dipersembahkan dengan unsur perpaduan di kalangan pelbagai kaum yang diinterprestasikan dalam bentuk tarian dan juga pakaian yang digunakan. Saya pasti ramai yang teruja dengan gambar gambar yang telah dikongsikan. Baiklah, entri kali ini, saya akan lebih fokus kepada uniknya budaya Melanau itu sendiri yang digambarkan ketika Pesta Kaul ini dijalankan. Atas sebab uniknya perkara perkara ini, tercetus naluri dan minda saya untuk berkongsi kepada pembaca sekalian. 


Gambar pertama yang saya pilih di atas adalah patung Dakan. Bagi yang hadir ke tapak pesta kaul, sudah pasti anda pernah melihat dan mendapat sedikit input mengenai patung ini bagi suku kaum Melanau. Mengapa dan apa uniknya patung ini mengikut kepercayaan kaum Melanau. Sudah pasti akan terdetik soalan itu di minda pengunjung bukan?. Saya kongsikan kepada anda sedikit info mengenai patung dakan ini. 
Dakan merupakan patung yang diperbuat daripada dahan rumbia. Patung ini juga dikenali sebagai patung yang digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Pesakit yang tidak dapat diubati dengan upacara bebayoh baru akan menggunakan dakan. Terdapat pelbabai jenis bentuk dan saiz patung dakan yang dibuat mengikut jenis-jenis penyakit. Selepas pesakit telah dikenalpasti penyakit yang dihadapinya melalui upacara bebayoh, pesakit akan dilanjutkan kepada orang yang mengubati penyakit menggunakan dakan. Dahan rumbia akan diukir mengikut jenis penyakit yang dihadapi, dimulakan daripada mengukir bahagian badan patung dan barulah mata patung dakan boleh diukir. Selepas patung dakan dihasilkan, pesakit akan duduk, patung dakan akan berada di atas kepala pesakit dan seterusnya air disiram dari atas patung dakan terus ke pasakit yang duduk. Jampi digunakan semasa patung dakan dibuat. Selepas berubat, patung yang digunakan akan dibuang dan dihanyutkan ke sungai yang jauh dari kawasan perumahan. Selain itu, patung dakan yang telah dihanyutkan ke sungai tidak boleh diambil dan dikatakan jika menjumpai atau menganggu patung tersebut seperti memotong patung dakan itu, nescaya mereka akan meninggal dunia. Patung dakan juga tidak boleh disimpan di dalam rumah dan mesti dihanyutkan ke sungai. 

Pada entri sebelum ini juga saya juga telah kongsikan kepada anda mengenai makanan tradisional melanau iaitu sagu. Pesta Kaul tahun ini memperlihatkan budaya kaum Melanau itu dengan mengadakan pameran proses pembuatan sagu itu sendiri. Sila fokus kepada gambar di atas. Seorang lelaki sedang menggunakan tenaga empat keratnya untuk menolak balau(rumbia) itu untuk diproses. Malah, saya juga bercerita mengenai pembuatan sagu secara tradisional. Mungkin penceritaan saya dalam entri lepas agak tergantung. Jadi di sini saya kongsikan kepada anda sedikit info bagaimana pokok rumbia atau pokok sagu itu diproses menjadi tepung Lemantak akhirnya menghasilkan butir butir bulat sagu ..


Proses pertama untuk menjadikan tepung lemantak adalah bahagian-bahagian kecil pokok mulong dibuang kulit yang keras dan dibelah kepada bahagian yang lebih kecil. Bahagian kecil tersebut dimasukkan ke dalam mesin parut untuk mengasingkan hampas dan isi sagu tersebut. Mesin parut tersebut mempunyai beberapa bahagian iaitu bahagian parut, bahagian penapisan, bahagian pengaliran air, bahagian pembuangan hampas (pow) dan bahagian mengaliran pati sagu.Setelah diparut menggunakan mesin ciptaannya sendiri, isi yang diparut diairi untuk mendapatkan pati sagu seperti proses memerah santan dari kelapa yang diparut. Isi yang diparut itu melalui bahagian penapisan dan diperah kemudiannya diasingkan dari hampas atau dalam bahasa Melanau hampas pokok mulong dipanggil ‘pow’ . Hampas tersebut dialirkan ke kawasan sungai. Kitaran air yang menggunakan sepenuhnya air sungai sentiasa bergerak kerana pemprosesan tepung lemantak ini memerlukan air yang banyak untuk mengasingkan setiap bahagiannya.
Setelah diparut, sabut pokok mulong dibuang. Hampas bersama isi sagu yang tinggal dipisahkan menggunakan penapis besar. Isi sagu yang terkumpul dialirkan ke dalam ‘jalur’ iaitu sejenis kayu belian yang dibuang isi dalamnya. Terdapat air di dalam ‘jalur’ tersebut untuk memendakkan isi sagu. Setelah selesai semua, isi sagu bersama air yang terdapat dalam ‘jalur’ di buang airnya. Setelah air dibuang, isi sagu tersebut di masukkan di dalam pasu dan sedia untuk dikeringkan. Proses pengeringan menggunakan ‘tanudak’ adalah sejenis bahan yang menggunakan buluh yang dikait. Setelah dikeringkan dalam keadaan cuaca yang panas. Tepung lemantak sedia untuk diproses menjadi bahan makanan harian masyarakat Melanau seperti linut, tebaloi biji sagu dan sebagainya.


Tepung lemantak yang telah siap.. 

Ha,, itulah serba sedikit penerangan mengenai bagaimana tepung lemantak ini dibuat. Kini tepung ini dibuat dalam 2 variasi. Iaitu serbuk dan berketul sama seperti gambar di atas. Bagi yang telah hadir ke Tapak Pesta sudah pasti anda telah melihat sendiri tepung ini dijual dan sudah pasti anda  mendapat info yang secukupnya dari mak cik yang menjual di gerai tersebut bukan.. :)


Hasil kedua dari pokok rumbia yang ingin saya kongsikan adalah sagu.  Sagu ini adalah makanan tradisional orang melanau yang boleh dimakan bersama buah buahan, kari ayam, dan juga dimakan begitu sahaja dengan ikan bilis ataupun kacang tanah goreng. Sedap! kalau tak percaya, sila lah cuba. 

Sedikit info mengenai pembuatan sagu ini adalah
Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak. Tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna putih-keputihan. Hal ini adalah untuk memastikan kebersihan tepung lemantak itu sendiri. Tepung lemantak akan dikeringkan bagi memudahkan proses penghasilannya. Selepas itu, tepung lemantak akan dicampur dengan kelapa parut kering (kerisik), dedak padi, santan, dan garam . Kesemua bahan tadi hendaklah ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian dari penduduk yang menghasilkan sagu, menggunakan mesin kelapa untuk dijadikan adunannya. Setelah siap, kesemua adunan tadi akan diayak di dalam ‘takung’. ‘Takung’ merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan ‘gaah’. ‘Gaah’ merupakan sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu, gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat melalui lubang-lubang yang sedia ada.

Adunan sagu yang digelek tadi diulang dan dimasukkan semula di dalam ‘takung’ bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk di bakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang sehingga tepung habis. Setelah siap digelek, biji sagu yang tertinggal di dalam takung tersebut sedia untuk dibakar. Proses pembakaran dimulakan dengan memanaskan belaga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata. Setelah belaga betul-betul panas, biji sagu diletakkan di atas belanga dan dibakar. Pembakaran ini juga tidak menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa di ratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang. Masa untuk proses pembakaran ini mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang 5jam untuk menjadikan biji sagu menjadi rangup dan sedap untuk dimakan. Biji sagu yang siap dibakar di masukkan di dalam tin dan sedia untuk di jual kepada pelanggan.

inilah belanga yang digunakan untuk membakar sagu..




Pameran kaul pada tahun ini sememangnya unik kerana ia mempertontonkan secara langsung bagaimana sagu itu diproses. Uniknya bagaimana sagu itu dihasilkan bermula dari proses menebang pokok rumbia yang memerlukan tulang empat kerat, ketelitian untuk membentuk sehingga  menjadi tepung lemantak,  dibakar sehingga menjadi sagu yang memerlukan kesabaran dan kekuatan fizikal dan mental di dalam belanga yang panas. Pameran ini adalah pameran yang paling mendapat perhatian dari golongan pengunjung yang hadir ke tapak pesta kaul ini.. 



Terendak juga memaparkan keunikan yang tersendiri. Malah, pengunjung sendiri boleh membeli terendak ini dengan mudah kerana ia dijual di gerai gerai pameran. Dengan pelbagai bentuk dan saiz. Malah, bagi yang hadir untuk kali pertama ke Mukah, anda sudah pasti agak hairan dengan senibina di sekitar Mukah yang kebanyakannya berbentuk seperti terendak. Contoh terdekat yang anda dapat dilihat adalah menara peninjau yang berdekatan dengan Tapak Pesta berdekatan tandas awam.  Terendak adalah keperluan utama bagi masyarakat Melanau. Kini, ia juga boleh dijadikan hiasan malah masih digunakan oleh sebilangan besar nelayan dan petani di kawasan sekitar Mukah untuk mencari rezeki.



Malah, dengan hadir ke Tapak Pesta Kaul, anda akan dapat melihat sendiri anyaman yang menggunakan sumber alam semulajadi daun nipah yang dapat menghasilkan takung, nyiru, dan terendak.  Atas sebab keunikan anyaman dan reka bentuk peralatan ini, kini ia boleh dijadikan perhiasan di rumah. Saya pasti ramai yang telah berkunjung ke Tapak Pesta mengambil peluang dan ruang untuk membelikan peralatan di atas untuk dijadikan kenang kenangan untuk Pesta Kaul pada tahun ini.. 


jeng jeng jeng.. 


Ini adalah ulat mulong bakar. dipanggil Si'et oleh orang Melanau. bagi yang tidak berkesempatan untuk membeli Ulat Mulong Bakar in ketika Pesta Kaul, ianya juga boleh didapati hidup hidup (mentah)  di Pasar Basah berdekatan Shell di Pasar Lama.  Jangan terkejut kalau anda melihat pengunjung memakan si'et bakar ini ketika pesta kaul yang lepas, kerana ia adalah salah satu makanan tradisional. Sedikit info mengenai ulat mulong ataupun si'et ini adalah : 
Ia sebenarnya adalah larva kumbang yang bersarang di dalam batang pokok rumbia yang sudah reput. Ulat mulong terutama yang gemuk berlemak boleh dinikmati menerusi pelbagai jenis masakan sama ada digoreng bersama kicap, disalai, dibuat sup ataupun dijadikan sate. Bagi penggemar tegar pula, ada yang memakan ulat mulong secara hidup-hidup yang dicicah dengan garam halus atau dimakan bersama sagu. Ia diminati ramai, baik di kalangan masyarakat bumiputera, Cina mahupun pelancong asing kerana rasanya yang lemak.

 Anda ada melihat ulat mulong ini di pesta keramaian lain? Jarang bukan.. Hanya Pesta Kaul akan menyajikan kepada anda keunikan adat dan budaya yang tersendiri, baik dari segi makanan, pakaian dan adat resam. Pesta Kaul, tiada Seunikmu :) 


monolog dalaman : Di mana agaknya kami hendak membeli si'et goreng ini..




Dengan sedikit perkongsian keunikan budaya dan kepercayaan masyarakat Melanau ini, saya pasti terdetik perasaan anda untuk mengetahu dengan lebih mendalam lagi uniknya budaya masyarakat Melanau.. *wujudlah semangat inkuiri*

Ingin tahu keunikan lain sepanjang Pesta Kaul ini? Tunggu di Entri Seterusnya.. 

Credit photo to :  Cikgu Abdul Wahit 

Kepada yang belum  membaca entri mengenai Pesta Kaul 2013, anda boleh halakan mouse anda ke kiri dan klik pada Tab  Kaul dan membaca entri yang telah  dipostkan sebelum ini.. 

Terima kasih.. :) 

No comments:

 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah