Friday, May 3, 2013

Pesta Kaul; Aktiviti Ritual Masyarakat Melanau..


Kaul, Tiada seuniknya menggambarkan pesta itu sendiri adalah cukup unik dan punyai identiti tersendiri yang membezakan ianya dengan pesta lain. Entri sebelum ini, saya banyak bercerita mengenai aktiviti dan apa yang telah anda nampak ketika pesta kaul ini diadakan. Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi kepada pembaca sekalian mengenai apa yang anda perlu tahu mengenai keunikan budaya Melanau ini yang anda tidak nampak dan mungkin anda tidak tahu pun sebelum ini. Mungkin dalam entri lepas, anda tidak begitu nampak unsur kelainan yang ada. Mari kita teruskan membaca... 




Gambar di atas menunjukkan perarakan serahang menggunakan perahu. Adalah kebiasaan bagi masyarakat Melanau untuk bergerak dengan menggunakan jalan air kerana kedudukan perkampungan Melanau adalah di sepanjang sungai dan pengangkutan utama adalah melalui sungai. Yang uniknya disini ada dua wajah yang lain dari yang lain bersama mereka diatas perahu. Sebelum ini saya pernah bercerita kepada pembaca mengenai pengenalan apa itu serahang bukan. Sila rujuk entri ini.
lazimnya, suatu ketika dahulu, perarakan ini akan lebih meriah dengan perahu bersaiz sederhana yang dipanggil bahong yang turut sama dalam perarakan ini. Malah, ada juga perahu berhias yang turut sama ikut serta dalam upacara ini. Wajah yang lain dari yang lain di atas mengenakan topeng. atau digelar a petupieng dalam bahasa melanau yang merupakan simbolik kepada ipok. Itu adalah kepercayaan dan adat turut temurun sejak dahulu. Tiada siapa yang dapat menggambarkan rupa sebenar Ipok. Namun, dengan hadirnya a petupieng ini dalam perarakan ini adalah simbolik kepada upacara pemujaan Ipok..

Perarakan ini adalah dari Sg Tellian, Batang Mukah, hinggalah ke Kala Dana. (Pantai Pesta Kaul). 





Serahang yang diarak tadi akan dibawa ke daratan untuk dipacakkan. Gambar sebelah kanan menunjukkan gambaran/simbolik Ipok yang menunjukkan Ipok Alud dan Ipok Daya. Ipok Alud dianggap sebagai pemberi rezeki.  Jadi, Ipok daya perlulah memberi makanan kepadanya agar mudah mendapat rezeki.  Malah ada sumber yang mengatakan simbolik Ipok Alud dan Ipok Daya cumalah untuk menakutkan kanak kanak atau pelawat yang hadir sebagai simbolik semasa Pesta Kaul ini. Lazimnya, mereka akan menyapa atau bergurau. Sebenarnya, sepengalaman sepanjang Pesta Kaul, aku sendiri pernah disergah suatu ketika dahulu. Mungkin kerana terkejut dengan personaliti pelik dan topeng yang mereka gunakan, ia sebenarnya mampu memberi impak kepada mangsa yang diganggunya. Jadi, kanak kanak. jangan nakal nakal ye semasa Pesta Kaul...




Sekiranya tadi ramai golongan lelaki yang terlibat dalam upacara perarakan. Golongan wanita pula akan membawa juadah kuih muih, air dan sebagainya untuk dimakan bersama di lokasi memacak serahang. Malah, ada yang membawa hidangan tradisional seperti kuih sepit, bahulu, sagu dan sebagainya. Sesiapa sahaja boleh menikmati hidangan di sini. Mereka akan berkumpul dan makan bersama sama. Di sini dilihat nilai toleransi dan kerjasama di antara satu sama lain. Tradisi ini masih kekal di kalangan masyarakat Melanau Mukah. 




Selesainya aktiviti memacak serahang, akan diadakan persembahan silat. Walaupun ada daerah berdekatan yang juga menyambut Pesta Kaul ini, namun tidak semua akan mengadakan persembahan silat kerana tiada pelapis muda dalam seni silat ini. Diharap selepas ini lebih ramai anak muda yang mewarisi seni silat ini agar adat dan budaya bersilat selepas memacak serahang ini tidak luput begitu sahaja. 



Penceritaan ringkas di atast menggambarkan kepada kita uniknya budaya masyarakat Melanau dari pelbagai segi. Baik dari segi kekuatan fizikal mahupun ikatan ukhwah perpaduan adalah menjadi pegangan dan saling bersatu hati antara satu sama lain bagi mencapai objektiviti dan matlamat.


Dengan kehadiran generasi muda ke Tapak Pesta Kaul dan sama sama membantu bagi menjayakan aktiviti,  diharap keunikan budaya ini mampu dipertahan ke anak cucu. Uniknya melanau itu haruslah dilihat dalam pelbagai bentuk dan bukannya melihat kepada luaran semata mata. Dengan adanya ikatan perpaduan dan ukhwah yang wujud di kalangan dua generasi, insyaAllah adat budaya ini akan terus mapan dan menjadi kebanggaan Masyarakat Melanau atas keunikan budaya yang masih terjaga..

Sekian dulu untuk entri kali ini. Kepada pembaca yang ingin membaca entri lain berkenaan pesta Kaul,  tujukan mouse anda ke kiri blog dan klik pada tab Kaul.

Terima kasih kerana sudi membaca.. 

Credit photo to : Nainet Photomania.. 
Post a Comment
 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah