Sunday, May 5, 2013

Kaul Mukah; Warismu



Salam semua.. Anda sudah mengundi? Sudah tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia? Tahniah.. Hari ini saya bukannya ingin bercerita mengenai PRU 13. Tetapi entri yang bakal saya tuliskan adalah berkaitan rumusan yang anda boleh dapat dari Pesta Kaul Mukah ini.. Jadi entri hendaklah berkesinambungan, bermula dari Pengenalan, Aktiviti , Keunikan dan tips tips berbelanja semasa kaul. Maka, kali ini saya akan mengaitkan Pesta Kaul ini sebagai wadah utama dalam unsur perpaduan yang menjadikan elemen tradisi budaya itu sebagai nilai tarikan utama. Baiklah.. kembali bercerita.. :) 

Sebelum itu, saya kongsikan kepada pembaca lintas langsung di Tapak Pesta Kaul pada tahun 2011. Ini kerana mungkin penceritaan melalui penulisan adalah kurang jelas, maka saya kongsikan kepada anda video lintas langsung di Tapak Pesta Kaul Mukah, Sarawak.. 


Hasil keseluruhan dari video ini, anda sudah pasti dapat mengetahui secara ringkas pesta ini. Uniknya dengan aktiviti, makanan, pertandingan, dan reka bentuk gerai komuniti yang tersergam indah di Pantai Kala Dana. Pesta Kaul yang menjadi tarikan pelancong ini membuka ruang kepada usahawan baru dan usahawan tempatan untuk mengkomersialkan hasil jualan masing masing. 

Sudah pasti ramai yang bertanya, kenapa penulis begitu mengetahui latar belakang atau warisan Melanau ini. Baiklah, penulis blog ini adalah gadis Melanau. Fullstop :)Penulis berpendapat bahawa tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita semakin lenyap ditelan arus pemodenan. Maka, dengan adanya bermacam macam aktiviti yang telah saya tuliskan dalam entri sebelum ini, dilihat Pesta Kaul ini mampu mengekalkan budaya dan tradisi etnik Melanau. Keunikan aktiviti yang menjadi tarikan pengunjung dilihat begitu signifikan dengan budaya masyarakat Melanau.



Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian dan warna yang pelbagai. Dengan adanya pameran pakaian tradisional Melanau di tapak pameran, pengunjung akan lebih tahu nilai dan budaya Kaum Melanau itu sendiri. Nilai ini dapat dilihat ketika Perasmian Pesta Kaul yang lepas, di mana saya juga telah bercerita mengenai tarian yang dipersembahkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Sarawak. Pesta Kaul yang menggabungkan unsur hiburan di samping mengeketengahkan nilai dan budaya pelbagai kaum di Sarawak.  

Seperti mana yang kita sedia maklum, tarikan pelancongan ialah keunikan budaya tradisional masyarakat Melanau ini, misalnya Tarian Melanau, bermukun bertandak dan bergendang. Banyak pengunjung yang hadir kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan masyarakat Melanau. Ada yang sanggup mendirikan khemah di tepi Pantai Kala Dana bagi menghayati keunikan Pesta Kaul yang berlarutan sampai ke pagi dan merasai sendiri kekayaan warisan bumi seperti keunikan dan keindahan pantai di kawasan Mukah apabila tiba musim Kaul. Tidak kurang pula yang merakamkan adat dan budaya perkahwinan Melanau yang diadakan di Tapak Pesta Kaul ini. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan dan menarik minat pengunjung di masa masa akan datang. Unsur kelainan dari segi aktiviti saban tahun akan  menarik lebih ramai pelancong datang ke Pesta Kaul Mukah di masa masa akan datang. 


Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan bangsa kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar.  Budaya kita yang murni juga merupakan benteng dalam diri yang tidak mudah goyah. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat yang ada pada hari ini berpunca daripada kesilapan silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.


Salam iklhas dari penulis :) 

Halakan mouse anda ke kiri blog jika ingin membaca entri lain berkaitan Pesta Kaul.. 

Terima Kasih kerana sudi membaca.. 



1 comment:

Rieya Ramlee said...

Anda ditag!! Tahniah sis!! :)

http://thepureheartoftheemptysoul.blogspot.com/2013/05/kenangan-blogging-yang-paling-indah.html

 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah