Wednesday, May 1, 2013

Warna Warni Pesta Kaul Mukah 2013



Semalam dah update mengenai info cara nak jimat bajet semasa pesta kaul. Hari ni nak update mengenai citrawarna tarian yang dipersembahkan ketika Pesta Kaul ini dijalankan. Dengan elemen warna warni dan wajah ceria penari, pengunjung rela untuk menghadap cuaca panas di tepi pantai. Lazimnya, tarian tradisional merupakan sejenis seni gerak yang mengandungi gerakan tubuh badan yang mempunyai unsur – unsur keindahan . Tarian dapat dipersembahkan melalui gerakan tangan , kaki , badan , mata dan anggota badan yang lain.Seni tari adalah pengucapan jiwa manusia melalui gerak – geri berirama yang indah. (ini info aku dapat dari pensyarah aku tau:) Keceriaan jelas terpancar di wajah penari penari ini ketika Majlis Perasmian Pesta Kaul yang lepas.. 

at the right side is my classmate during secondary school!!!

Warna biru merupakan simbolik perpaduan adalah elemen utama dalam persembahan tarian kumpulan ini.

Tarian tradisional sering dihubungkaitkan dengan semangat ritual dan mistik. Persembahan ketika pesta kaul ini memaparkan etnik dan budaya kaum masing masing. Sejajar dengan proses globalisasi, kemasukan tarian kontemporari dari negara barat semakin menular di kalangan masyarakat Malaysia dan amat digemari oleh anak-anak muda masa kini.  Maka, dengan adanya persembahan tarian seperti ini, ia bukan setakat menjadi tarikan utama kepada pengunjung, malah menjadi nadi utama untuk mengekalkan jati diri dan identiti sesuatu kaum. Kebiasaannya, tarian seringkali dikaitkan dengan iringan muzik. Tarian dan muzik bagaikan ritma yang tidak dapat dipisahkan. Persembahan tarian ketika Pesta Kaul ini juga  dapat dijadikan sebagai suatu alat yang dapat mengeratkan perhubungan sesama manusia di samping memulihara nya agar ia tidak ditelan zaman. Apa yang menariknya, gabungan elemen pelbagai kaum seperti yang telah saya ceritakan dalam entri lepas adalah satu kelainan ketika persembahan pesta kaul ini dijalankan. Mana tidaknya, lazimnya,  bagi pengunjung atau pelawat yang hadir, adalah sukar untuk anda melihat suku kaum di Sarawak ini untuk mempersembahkan tarian secara gilang gemilang ini dalam satu satu masa. Dengan hadir sendiri ke tapak pesta ini, anda dapat melihat tarian kaum Iban, Melanau, Bidayuh dan sebagainya secara langsung di Pantai Kala Dana, Mukah. 





Malah, ketika Pesta Kaul ini, anda dapat melihat elemen seni dan kreativiti setiap kaum yang ada di Sarawak, khususnya di Mukah.. Simbolik warna dan pakaian yang digunakan oleh penari adalah lambang identiti bagi suatu kaum itu yang mempunyai makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. 

Fokuskan kepada pemakaian terendak oleh si gadis manis ini.. Bagi yang hadir ke Tapak Pesta Kaul, anda sememangnya sudah pasti tahu apa kegunaan dan apa uniknya seni terendak ini bagi kaum Melanau amnya. Sedikit info mengenai terendak kepada yang belum mengetahuinya.. :)

Terendak Melanau iaitu topi, atau juga lebih dikenali sebagai Seraong oleh bangsa itu sendiri, merupakan salah satu warisan seni rupa anyaman bagi masyarakat Melanau yang diperbuat dari rotan dan dahan pokok rumbia yang dianyam. Dahulu, terendak ini dibuat oleh masyarakat Melanau sebagai pelindung panas dan hujan terutamanya bagi nelayan atau petani untuk melindungi mereka sendiri dari terkena sinaran matahari yang terik. Malah, Terendak ini juga digunakan untuk tujuan tradisi seperti Upacara Pesta Kaul atau juga dikenali sebagai Pesta Memuja Pantai. Terendak ini dianyam dengan pelbagai corak dan jalur yang berwarna-warni yang melambangkan kaum Melanau yang pelbagai. Terendak mempunyai saiz yang berbeza dan boleh digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum. Malahan, sehingga kini Terendak ini masih digunakan oleh masyarakat Melanau itu sendiri dalam menjalani kehidupan seharian. 






Pakaian tradisional kaum iban.. 

Terbahagi kepada tiga jenis iaitu Bidang, Kalambi dan Bedong. Bidang merupakan sejenis kain sarung yang sempit dan panjangnya cuma separas lutut. Baju Kaum Iban yang dipanggil kalambi pula ada dua jenis iaitu kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Wanita Iban juga memakai kain selendang yang panjang dan sempit. Kain selempang ini dikenali sebagai bedong, iaitu ia dihiasi oleh reka corak tenunan yang sangat halus.








Perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak ini sebenarnya dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan khususnya semasa Pesta Kaul ini. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia ini amnya merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Inilah situasi yang terjadi di Sarawak. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum.Ini dapat diihat semasa Pesta Kaul. Uniknya budaya kaum kaum di Sarawak. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini, selain itu persembahan semasa pesta ini akan dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta. :) 



Siapa tahu ada di kalangan penari ini yang bertemu jodoh ketika persembahan diadakan.. Lepas ni boleh la masuk sehati berdansa.. :) 
Sekian untuk penceritaan kali ini.. tunggu di lain entri... 

Credit photo to : abgtamz ally 

Kepada yang ingin membaca entri lain mengenai pesta kaul, halakan mouse anda ke kiri dan klik pada  tab kaul.. :) 
Selamat membaca ....

Terima kasih... 

2 comments:

Unknown said...

Aww~ bila la gik nak gi kaul oww. Huu~

Cikgu Zahora said...

@Neo89 huuu.. tggu kita reunion waktu kaul kali mijie.. hee. aku pun dah lamak x blit kaul.. rindu!

 

Oura Galaxy - Copyright © 2014 | Designed by Anne Shah